Selasa, 26 Januari 2010

Apa ada di dalam Ka'abah?

Ini ada beberapa gambar dan rajah menunjukkan keadaan di dalam Ka'abah. Sayugia diingatkan bahawa hanya insan tertentu yang diberikan keistimewaan untuk melihat isi dalam Ka'abah apatah lagi untuk memasukinya. Semoga dengan gambar-gambar ini dapat memberikan gambaran bagaimana rupa isi Ka'abah.

Antara tokoh yang pernah memasuki Ka'abah,
Tun Dr. Mahathir, Tun Dr. Ismail dan King Ghaz.


p/s Untuk mendengar cerita pengalaman masuk ke dalam Ka'abah ini, boleh layari website Darussyifa' dan mendengar sendiri pengalaman dari Harun Din Al-Hafiz.

Isnin, 25 Januari 2010

Al-Fatihah


Belum reda dengan tangisan pemergian Almarhum Sultan Johor, negara dikejutkan dengan pemergian tokoh luar negara kita, Muhammad 'King Ghaz' Shafie. Semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama-sama orang yang beriman, Amin.


Rabu, 20 Januari 2010

UMNO,PAS,PKR...Siapa Yang Betul dan Siapa Yang Salah



Senario politik alaf baru ini menyaksikan pertentangan 3 parti politik Melayu dalam menegakkan pendirian masing-masing. Parti UMNO yang merupakan parti utama orang Melayu semakin hari semakin lemas dengan bermacam isu dan skandal. Daripada pucuk pimpinan sehinggalah ke akar umbi dilanda badai rasuah, skandal seks, komplot keluarga dalam politik dsb. PAS dan PKR juga tidak terlepas dengan nasib yang sama. Akhir-akhir ini pelbagai isu ditimbulkan di dada-dada akhbar , media massa dan ruang siber ini. Tetapi pernahkah mereka ini terfikir, mengapa akhir-akhir ini nasib malang ini hanya menimpa parti-parti yang didominasi oleh orang Melayu sahaja, walaupun ada juga kes yang terlibat melibatkan bangsa bukan Melayu.
Berpandukan dari hasil kajian beberapa blog yang turut sama meneliti permasalahan ini, dapat disimpulkan bahawa nasib orang Melayu kini umpama telur di hujung tanduk. Agak cemas juga bunyinya tetapi inilah hakikat yang harus kita terima walau apapun fahaman politik dan agama kita, kita mesti menyedari nasib bangsa Melayu Islam sudah tidak terjamin lagi.
Bangsa Melayu Islam di Malaysia merupakan benteng terakhir bangsa Melayu di Nusantara pada masakini memandangkan saudara-saudara kita yang ada disekitar kepulauan ini, ramai yang menjadi mangsa percaturan pemerintah di negara mereka. Melayu Pattani, Melayu Champa, Melayu Moro adalah contoh penderitaan dan kesengsaraan bangsa kita. Di Indonesia pula, ramai yang menjadi mangsa kemiskinan tegar walaupun negaranya kaya dengan hasil bumi dan ilmuwan yang mahsyur.
Wilayah Nusantara ini yang dahulunya satu sudah berpecah akibat taktik penjajah (Divide and Rule) menyebabkan kekuatan satu bangsa tadi menjadi lemah. Dari aspek geografi sehingga ke aspek minda bangsa Melayu sudah dipecah-pecahkan supaya tidak bersatu. Jika kita benar-benar amati ajaran ugama kita iaitu Islam, tidak akan ada perpecahan yang sepatutnya terjadi walaupun berbeza dari segi fizikal dan mental. Dengan kesatuan sahaja sesuatu umat atau bangsa itu akan maju dan kuat. Tetapi apa yang berlaku kini sebaliknya. Kalau diikuti rentetan sejarah perpecahan bangsa Melayu ini, kita sebenarnya sudah sangat hampir kepada kemusnahan. Apakah nanti satu hari bila kita tidak dibenarkan Solat atau membuat ibadat yang lain baru kita hendak sedar dan bersatu? Satu artikel tentang nasib orang Islam Urghyur (kalau tak silap saya, kalau salah eja minta maaf ya) di China yang menjadi mangsa percaturan politik dunia pernah diterbitkan di majalah Al-Islam. Bangsa yang sepatutnya mempunyai negara sendiri telah dinafikan hak mereka kerana mereka beragama Islam. Bukan itu sahaja, masyarakat Yunan di China juga pernah ditekan semasa pemerintahan Mao sehinggakan umat Islam di sana tidak dibenarkan solat dan sebagainya. Adakah nasib sebegitu yang kita inginkan untuk bangsa kita yang majoritinya beragama Islam?
Jika mengikut sejarah, pemerintah Islam tidak pernah mengganggu atau menzalimi rakyatnya yang beragama atau berbangsa lain. Malah menghormati fahaman mereka dan berdakwah secara halus supaya mereka tertarik kepada Islam. Tetapi sejarah sering menyaksikan yang umat Islam sering dijadikan 'target practise' kepada senjata-senjata orang bukan Islam. Mengapa mereka melakukan perbuatan itu kepada kita umat Islam? Apakah dosa kita pada mereka?
Persoalan ini berbalik kepada tajuk diatas, siapa yang betul dan siapa yang salah. Ketiganya betul dan ketiganya juga bersalah kerana masing-masing sehingga ke saat ini bertegang urat mempertahankan kelurusan benang basah sendiri. Andaikata, terjadilah nasib malang ini kepada kita semula, (jangan lupa pernah terjadi yang kita telah dijajah selama 446 tahun) mahukah ketiganya bertanggungjawab? Sekali terjajah bangsa akan mula lemah dan untuk menjadi gagah kembali, amat lama untuk kembali. Fikirkanlah, kita mengambil masa hampir setengah abad untuk bangkit dan negara ini baru berusia 53 tahun merdeka. Adakah kita sudah muak dengan kemerdekaan ini? Sudah penatkah kita menguruskan negara ini sehingga mahu diulang sejarah hitam itu semula?
Sudah sampainya masa kita ketepikan kepentingan sendiri untuk kepentingan bangsa. Pengorbanan yang kecil itu walaupun tidak dapat menandingi jasa datuk nenek kita, tetapi amat berharga untuk kelangsungan hidupnya bangsa kita, bangsa Melayu.

Isnin, 18 Januari 2010

Setem Sungei Ujong


Kewujudan setem ini menunjukkan bahawa kedudukan Sungai Ujong sebagai sebuah negeri di Tanah Melayu ini dan bukan sebagai sebuah daerah.