Jumaat, 23 April 2010

Masalah Umat Islam Masa Kini

Saya jarang sekali menulis untuk Blog saya ini. Kebanyakan ‘posting’ saya dipetik atau disunting dari bahan-bahan yang terdapat pada blog-blog yang saya ikuti serta beberapa artikel yang berkaitan dengan isu-isu semasa.

Umat Islam masa kini, terutamanya di Malaysia amat sensitif bila memperkatakan tentang agama serta cara pengamalannya. Isu-isu seperti anti-hadis, tareqat, wahabi dan lain-lain terus menjadi teka-teki kepada umat Islam. Ketidakjelasan tentang sesuatu perkara telah membangkitkan beberapa insiden dan salah faham dan perkara ini sering kali dijadikan modal oleh beberapa orang yang suka mengambil kesempatan atas kekurangan kefahaman dan ilmu umat Islam di Malaysia ini.

Isu hukum, halal dan haram, bid’ah dan sebagainya seringkali menjadi tajuk utama perbincangan antara ahli agama. Sayangnya, banyak perbincangan tidak mendapat kesepakatan dan persetujuan kea rah penyatuan. Seringkali aksi tuduh-menuduh, saman-menyaman mengambil alih peranan perbincangan. Amatlah memalukan kepada kita umat Islam, jika tokoh-tokoh ini berkelakuan seperti itu. Keyakinan umat juga terjejas terhadap kredibiliti seseorang itu. Jadi di mana tempatnya umat Islam hendak berpegang keyakinan mereka jika orang yang diharap dapat membimbing pula pencong dan senget?

Kemunculan individu-individu yang merasakan diri mereka bagus dan betul lebih memburukkan keadaan yang telah sedia goyah dengan isu-isu yang tidak dapat diselesaikan. Isu murtad, minum minuman keras, bersekedudukan dan banyak lagi isu lapok yang tidak diambil serius cara dan penyelesaian untuk menyelesaikannya. Seringkali isu remeh dibangkitkan oleh golongan tertentu untuk memancing perhatian.
Tokoh-tokoh agama dan para ulama’ seharusnya duduk semeja dan bermesyuarah untuk menyelesaikan isu dan masalah yang lebih penting dari membicarakan soal makruh atau tidak, bid’ah atau sunnah. Adakah kita sedar atau tidak, majlis ilmu di surau-surau atau di masjid tidak lagi menarik perhatian? Cuba renungkan kepada diri kita dan bertanya, kenapa orang tidak mahu mendengar ta’lim ataupun usrah? Janganlah terus menyalahkan ahli karyah jika mereka tidak mahu hadir. Perlu ada cara yang lebih berhikmah untuk menarik mereka dari mengkritik atau menyindir. Bukan sahaja ahli karyah tidak mahu bahkan orang akan memperlecehkan diri kita.

Artikel ini ditulis kerana saya sudah ‘fed-up’ dengan gelagat segolongan ‘tokoh’ yang merasakan dirinya hebat. Tidak boleh ditegur dan dinasihat. Tepuk dada tanya selera. Jika masalah umat ini diambil enteng, tuan-tuan juga yang akan menjawab dahulu kerana jika kepalanya dah senget, ekornya juga akan ikut menyenget. Sekian, wassalam.

Tiada ulasan: