Selasa, 18 Mei 2010

Berita Harian Online | 25 setiap kelas

Berita Harian Online | 25 setiap kelas

Had murid antara 40 cadangan atasi beban guru

KUALA LUMPUR: Mengehadkan murid kepada hanya 25 orang bagi setiap kelas di sekolah rendah dan menengah adalah antara 40 cadangan mengatasi beban tugas guru yang dikenal pasti oleh jawatankuasa khas yang ditubuhkan Kementerian Pelajaran bagi mengkaji masalah berkenaan.

Ia berdasarkan kajian ilmiah yang pernah dilaksanakan dengan mengambil kira model sekolah di negara maju seperti Amerika Syarikat, Kanada dan Australia yang menunjukkan 25 pelajar bagi setiap kelas adalah jumlah yang ideal untuk membolehkan guru memberi tumpuan kepada proses pengajaran dan pembelajaran secara berkesan.
Menurut sumber, ia adalah antara 40 cadangan yang dikenal pasti oleh jawatankuasa khas yang dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Ketika ini, kebanyakan sekolah, terutama sekolah di bandar, mengalami masalah kepadatan kelas sehingga ada yang melebihi 40 murid, menyebabkan guru menanggung beban seperti kesukaran mengajar kerana tahap penguasaan belajar murid yang berbeza, selain kerja merekod, pemantauan disiplin, pengurusan bilik darjah serta menyemak latihan.

“Berdasarkan cadangan itu, kerajaan perlu memikirkan langkah mengatasi masalah kepadatan bilik darjah supaya mencapai jumlah ideal 25 pelajar, termasuk menambah bilangan kelas di sekolah. Jika dilaksanakan, kementerian juga perlu menambah guru.

“Bagaimanapun secara prinsip, persetujuan sudah dicapai dalam jawatankuasa itu supaya setiap cadangan disokong dengan fakta saintifik yang bernas bersama anggaran kos supaya dapat diberi pertimbangan sewajarnya oleh kerajaan,” katanya semalam.
Pada majlis pelancaran Sambutan Hari Guru 2010 Peringkat Kebangsaan Ke-39, kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan empat syor jawatankuasa khas itu yang boleh dilaksanakan segera untuk meringankan beban tugas guru.

Beliau berkata, syor itu ialah mengurangkan bilangan jawatankuasa pada peringkat sekolah kepada jumlah lebih wajar, mengkaji semula bilangan peperiksaan dan ujian yang menjadi antara punca pertambahan beban tugas guru, menyusun semula tugas perkeranian di sekolah dan kursus yang perlu dihadiri oleh guru diselaraskan pada peringkat kementerian supaya tidak berlaku pertindihan.

Sumber itu berkata, 40 cadangan yang disenaraikan selepas beberapa siri mesyuarat adalah hasil penelitian mendalam dan semakan semula terhadap beberapa kajian utama yang pernah dijalankan mengenai beban tugas guru sebelum ini, termasuk Laporan Tan Sri Abdul Rahman Arshad pada 1997.

Selain itu, beliau berkata, sebahagian daripada saranan dicadangkan oleh pertubuhan perguruan yang turut menganggotai jawatankuasa berkenaan, di samping pemantauan dan hasil soal selidik dengan guru peringkat akar umbi.

Katanya, satu lagi cadangan ialah kementerian mematuhi pekelilingnya dengan memastikan ada guru ganti bagi mengisi kekosongan untuk guru cuti bersalin atau berkursus bagi tempoh lama dan bukan dibebankan kepada guru lain.

Cadangan lain ialah pengagihan tugas yang sama rata kepada semua guru di sekolah dan bukan hanya kepada kumpulan tertentu semata-mata berdasarkan ‘siapa boleh buat kerja.’

Jawatankuasa berkenaan juga mencadangkan supaya kementerian menambah dua lagi kerani di sekolah yang murid melebihi 500 orang dan pentadbiran sekolah diberi kebebasan menentukan pembabitan dalam program anjuran pihak luar tanpa dikenakan sebarang tindakan.

“Ketika ini, sekolah terpaksa akur jika ada arahan menyertai program anjuran pihak luar, walaupun kadang kala ia diadakan secara mengejut. Ini membebankan guru kerana pada masa sama mereka terpaksa menjalankan program lain yang sudah diatur terlebih dulu dalam takwim sekolah,” katanya.


Komen Saya : Ini adalah isu lapuk yang telah lama disuarakan. Isu lambakan murid, kelas tidak
cukup malahan sekolah menumpang bukanlah satu isu baru. 1 kelas untuk 25 orang murid telah
lama diamalkan di luar negara. Kenapa baru di alaf baru ini kementerian baru hendak mengkaji
syor tersebut. Sedangkan syor tersebut telah lama terperuk di 'stor' kementerian sendiri. Sistem
KBSR juga telah menekankan betapa pentingnya P&P dilakukan dalam keadaan yang selesa.
Para guru sebenarnya sudah bosan hendak mendapat satu persekitaran kerja yang selesa dan
kondusif. Bukanlah guru hendakkan bilik darjah yang berhawa dingin dan berpermaidani.
Tapi cukuplah jika ia tidak penuh sesak dengan murid dan alat-alat P&P yang lain. Selama ini telah
banyak program pembaziran yang telah dilakukan. Adalah lebih baik jika peruntukan yang ada
digunapakai untuk menambah bangunan, memperbaiki sekolah yang usang dan sebagainya.
Kadangkala jika kita pergi ke sekolah tertentu, kita akan tertanya-tanya, setelah lebih 50 tahun
merdeka dan telah pun berada di alaf baru, kita masih mempunyai sekolah yang tidak cukup dinding,
walhal sekolah itu terletak di dalam pekan. Ada juga yang sekolah yang bilik guru besarnya di kantin
kerana bilik asalnya diserabuti oleh pendawaian yang tidak sempurna. Guru besar berkenaan terpaksa
berlegar di kwasan sekolah atau duduk di kantin kerana tidak mahu mendapat kemalangan akibat
kecuaian pihak kontraktor sebelum itu. Bukannnya tidak ada pihak yang datang membuat pemantauan,
tapi itulah hakikatnya. Bak kata sahabat saya yang juga seorang guru kepada seorang pegawai yang
datang membuat lawatan, " Harap kamera aje yang baru, sekolah ni entah bila dapat bangunan baru".
Itu hanyalah secebis dari kisah guru yang berada bukan pedalaman. Banyak lagi kalau nak dituliskan,
memang tak cukup huruf pada 'keyboard ini. Tapi apa yang boleh para guru lakukan? Sabar je la......

Tiada ulasan: