Isnin, 17 Mei 2010

Hadiah Hari Guru


KUANTAN, 16 Mei (Bernama) — Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad mengumumkan ganjaran kewangan bersempena sambutan Hari Guru kepada pengetua, guru besar dan guru yang berjaya melonjakkan prestasi sekolah masing-masing.

Muhyiddin berkata mereka yang mencapai sasaran Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) Kementerian Pelajaran yang ditetapkan bakal mendapat imbuhan wang tunai antara RM900 hingga RM7,500, mulai tahun ini.
“Selaras dengan konsep mengutamakan pencapaian dan keberhasilan, tawaran baru ini, ganjaran kewangan akan diberikan kepada pengetua, guru besar dan guru-guru yang berjaya melonjakkan prestasi sekolah masing-masing melepasi Skor Komposit 92 peratus bagi sekolah menengah dan 84 peratus bagi sekolah rendah.
“Pengetua dan guru besar yang mencapai sasaran KPI ini akan menerima ganjaran kewangan sebanyak RM7,500, lima peratus guru-guru (terbaik) sekolah berkenaan pula, iaitu berdasarkan tahap penilaian prestasi tahunan mereka, akan menerima RM1,800 dan guru-guru selebihnya lagi akan menerima RM900,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Guru Peringkat kebangsaan di Universiti Malaysia Pahang, di sini, pada Ahad.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata ganjaran kewangan itu merupakan satu suntikan baru kepada guru-guru untuk bekerja dengan gigih lagi bagi meningkatkan prestasi sekolah dan keberhasilan pelajar.
Muhyiddin berkata ganjaran kewangan itu tidak terbatas hanya sekali sahaja untuk setiap sekolah: “Kalau sekolah itu meneruskan usahanya untuk tahun berikutnya, ia akan dapat lagi ganjaran itu,”.
Beliau berkata ganjaran kewangan itu akan diteruskan setiap tahun dan bagi tahun ini, pencapaian setiap sekolah akan dinilai selepas keputusan peperiksaan, sebelum ganjaran itu diberikan kepada mereka yang layak.
Terdahulu ketika berucap pada majlis berkenaan, Muhyidin turut mengumumkan beberapa inisiatif lain kepada golongan pendidik.
Antaranya, Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan (LKPPP) telah meluluskan sebanyak 25,269 kenaikan pangkat bagi pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) dan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma atau bukan siswazah sehingga April 2010 ini.
“Untuk mempercepatkan proses kenaikan pangkat, Jabatan Perkhidmatan Awam juga telah bersetuju supaya kenaikan pangkat berdasarkan tempoh perkhidmatan Gred DG44 dan DG48 bagi Pegawai Perkhidmatan Siswazah akan dilaksanakan Kementerian Pelajaran,” kata Muhyiddin.
Beliau berkata Pegawai Perkhidmatan Siswazah yang memperoleh ijazah doktor falsafah juga akan menikmati kenaikan satu gred sekiranya memenuhi kriteria dan syarat yang akan ditetapkan Kementerian Pelajaran.
Selain itu, Muhyiddin berkata kerajaan juga sedang menimbangkan pelaksanaan beberapa inisiatif kenaikan pangkat berasaskan pencapaian yang lebih baik kepada mereka yang benar-benar menunjukkan kebolehan.
Ditanya mengenai syor yang dibuat oleh Jawatankuasa Khas Mengkaji Beban Tugas Guru, Muhyiddin berkata beberapa syor jawatankuasa berkenaan yang dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, akan dilaksanakan secepat mungkin.
“Beberapa perkara yang saya sebutkan (dalam ucapan) akan dilaksanakan seberapa segera, itu antara sebahagian daripada perkara yang dikenalpasti jawatankuasa berkenaan,” kata Muhyiddin.
Antara syor yang dikemukakan jwatankuasa berkenaan yang akan dilaksanakan segera antaranya, mengurangkan bilangan jawatankuasa di peringkat sekolah kepada jumlah yang lebih wajar.
“Pada masa ini terdapat sekolah yang mempunyai hampir 40 jawatankuasa dalam bidang pengurusan dan pentadbiran, kurikulum, hal ehwal murid dan kebersihan, keceriaan, keselamatan dan sebagainya.
“Pengecilan jumlah jawatankuasa akan dapat mengurangkan bebanan guru dan dapat memberi peluang kepada mereka untuk menumpukan perhatian kepada tugas hakiki,” katan Muhyiddin.
Syor lain ialah mengkaji bilangan peperiksaan di sekolah dan ujian di peringkat sekolah yang dilihat terlalu banyak, menyusun semula tugas-tugas perkeranian di sekolah dan penyediaan kurusus-kursus yang bersesuaian untuk golongan pendidik.
Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Ir Wee Ka Siong dan Dr Mohd Puad Zarkashi.
BERNAMA

Memang bagus ucaptama oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia. Pengumuman insentif kepada guru besar dan pengetua serta guru yang terbabit dalam kecemerlangan sekolah patut hargai. Bukan itu sahaja, kenaikan pangkat untuk gred DG 44dan DG 48 telah dipersetujui oleh JPA. Persoalaannya, dalam kita menghayati dan menghargai peranan guru pada anak bangsa, adilkah pemberian insentif berkenaan kepada guru berkenaan?
Cuba kita lihat petikan akhabar ini sekali lagi :
“Pengetua dan guru besar yang mencapai sasaran KPI ini akan menerima ganjaran kewangan sebanyak RM7,500, lima peratus guru-guru (terbaik) sekolah berkenaan pula, iaitu berdasarkan tahap penilaian prestasi tahunan mereka, akan menerima RM1,800 dan guru-guru selebihnya lagi akan menerima RM900,”
Bagaimana untuk menentu ukur KPI untuk guru? Adakah guru yang mengajar kelas A dimana muridnya semuanya bijak dan dapat keputusan yang baik akan mendapat KPI yang cemerlang atau guru yang mengajr kelas Z dimana muridnya memang lemah dan nak lulus pun cukup payah? Adakah jasa guru boleh diukur dengan KPI? Teluskah pihak pentadbir dalam pemberian markah penilaian kepada guru berkenaan? Memang telah diduga sejak awal, pengumuman insentif kepada guru tak ubah seperti memujuk anak kecil yang inginkan basikal tetapi diberi gula-gula untuk menghentikan tangisan tersebut.
Banyak rungutan dan tuntutan dari pihak guru yang di utarakan sama ada pada pihak kementerian mahu pun NGO yang terbabit. Tapi sayangnya semuanya masih dalam kajian dan pertimbangan. Memang selamanya guru itu akan menjadi lilin, tak perlulah berangan-angan hendak menjadi mentol atau lampu kalimantang hatta 'spotlight' sekalipun. Guru akan terus membakar dirinya tanpa menyedari dan mengetahui 'tangan-tangan' yang membakarnya.
Sudah terang lagikan bersuluh. Sekuat mana anda menjerit dan memekik, suara para guru kini hanya 'laku' di bilik darjah sahaja. Anda katalah apa pun, tiada siapa yang sudi mendengarnya. Hanya guru sahaja yang memahami guru. Orang yang bukan guru atau tak pernah menjadi guru, tidak akan mengerti apa itu guru. Buat para guru, teruskanlah tugas anda. Pedulikan dengan pujukan, ejekan, kutukan dan sindiran dari orang. Apa yang penting adalah anda semua menggalas amanah yang dipertanggungjawabkan ke atas anda dan anda telah tunaikan. Semoga jasa anda dibalas oleh yang 'Haq'.

Tiada ulasan: